iLovePalestine.com

Sunday, March 28, 2010

kisah si anak ikan

Seekor ibu ikan menasihati anak-anaknya dengan berkata, “wahai anak-anakku sekalian, hari ini ibu ingin menasihati kalian..”



Ibu ikan memulakan bicara, anak-anak pula setia mendengar.“Nanti apabila kamu bersiar-siar atau mencari rezeki di persekitaran sungai ini, kamu bakal menemui cacing yang enak untuk dimakan. Ia sungguh mengujakan, tapi ingat.. itu umpan semata-mata. Di sebalik cacing tersebut ada keluli yang sangat tajam,” ujar ibu ikan bersungguh-sungguh.


“Sekali kita menggigitnya, kita tidak akan mampu melepaskan diri. Kesakitan tersebut baru permulaan kerana kita akan disentap keluar dari sungai ini. Di luar sana, segala-galanya tidak sama dengan kehidupan disini. Kita akan terpisah buat selama-lamanya…”

Anak ikan mengangguk-ngangguk mendengar dengan teliti.

“Mereka tidak akan mengembalikan kita ke sini. Di luar sana ada makhluk-makhluk yang tidak mempunyai sifat belas kasihan. Mereka mencekik insang dan membelah perut lalu mengeluarkan isi perut kita menggunakan pisau tajam, kemudian sisik kita pula dikupas dan kulit kita dilapah. Rasa sakit tidak terperi apabila tubuh kita dikelar-kelar dan di atas luka itu dilumurkan garam.”


Dengan penuh perasaan ibu ikan menerangkan, menggayakan dan membayangkan kesakitan yang tidak tertanggung.

“Kesakitan belum berakhir di situ, selepas itu tubuh kalian akan dihumban ke dalam kuali. Kalian akan berenang di dalam minyak yang menggelegak sehingga tubuh jadi kering dan rentung. Apabila dikeluarkan, tubuh kalian akan disiat-siat dan diratah. Tulang tulang terpisah dari sendi dan daging dikunyah sehingga hancur lumat. Alangkah sakitnya semua itu, tidak berbaloi memakan cacing untuk semua kesakitan ini!”

Tinggi alunan suara ibu. Anak ikan yang paling kecil menekup muka seperti tidak mampu lagi mendengar cerita ngeri ini.

“wahai anak-anakku, berfikir lah setiap kali berjumpa umpan tersebut…” semua anak-anaknya mendengar dengan penuh rasa takut dan bertekad untuk berhati-hati.


Keesokannya, seperti biasa mereka keluar untuk mencari makanan. Perut berkeroncong kuat. Tiba-tiba mereka ternampak seeok cacing yang segar dan sangat menyelerakan, liuk lentuk cacing terhayun hayun dibuai arus. Limpahan cahaya matahari pagi berkilauan memperaga sesusuk daging montok yang menggiurkan.



Seekor anak ikan tidak tertahan lagi…




tanpa berlengah dia terus meluru kearah cacing tersebut sambil berkata “apa yang ibu ceritakan semalam hanyalah dongeng bertujuan untuk menakut-nakutkan sahaja.” Dia membaham cacing tersebut tetapi tidak sempat merasakan kelazatannya, mulut terasa amat sakit. Lelangitnya tertusuk keluli tajam dan tembus!

Belum sempat dia menjerit, dia disentap pergi. Tubuhnya menggelupur kuat cuba melepaskan diri, namun semua usahanya gagal. Pandangannya kabur dan perlahan-lahan gelap. Itulah kali terakhir dia dilihat di sungai tersebut.

(daripada buku U-Turn ke Jalan Lurus, Zul Ramli M Razali)



Kasihan si anak ikan..

Kisah anak ikan tak ke sebijik macam kita? Walau pun dah dengar berkali kali peringatan tentang azab yang sedahsyat dahsyat nya, tapi kita tetap terliur dan tergoda dengan cacing cacing =.=

Sesungguhnya Neraka Jahanam adalah disediakan; Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman; Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir, Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal, Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami; Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis. (Setelah mereka masuk ke dalam Neraka, dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu.” (An-Naba' [78] : 21 - 30)

Betul lah hawa nafsu selalu bawa kepada kehancuran! Dan azab! Dan apiiii! Api? Hmm.. Kenapa aku tak rasa apa-apa? tak keluar peluh pun. Biasa-biasa je. mungkin hati ni dah terlalu hitam. Bergelumang dengan dosa. Tenggelam dalam nikmat dunia. Bantal selalu je menang bila bertarung dengan solat. Bersembang dengan manusia di Gtalk kadang kadang lebih diutamakan dari panggilan Tuhan.

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam Neraka)” (Maryam, 19:59)


Rupa-rupanya… Bantal dan Gtalk adalah cacing umpan!! Dan aku adalah anak ikan.

Tuhan, ampuni aku.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik". (Al- Hadid, 57: 16)


..

2 comments:

May Hashim said...

isk3..kesian ikan2 aku jdk mangse weyh!...

HanifMarwa said...

x mau jadi anak ikan tuh...
x mo cacing... x mo :P